Posts Tagged ‘tips temuduga’
Menghadapi temuduga
..jeng..jeng..jeng…
Akhirnya anda berjaya dipanggil untuk temuduga! Apa saya kata? Berkat kesabaran dan doa, pasti berjaya!
Sebelum anda pergi mengadap bakal majikan, ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan. Tapi sebelum tu, saya tips khas untuk mereka yang nak pergi temuduga di jabatan kerajaan. Tgk kat sini ye!
Ok, kalau anda ikuti langkah-langkah dan panduan yang saya beri – Insya-Allah anda akan cemerlang dalam temuduga pertama anda.
Sebelum temuduga
- Cari maklumat syarikat yang memanggil temuduga seperti sejarah syarikat, pengasas, produk/perkhidmatan yang ditawarkan, hala tuju dan perkembangan terbaru. Tuan penemuduga gemar bertanya mengenai apa yang anda tahu tentang syarikat mereka. Jika anda berjaya menjawab, menunjukkan anda sangat komited untuk bekerja dan sentiasa dalam keadaan bersedia.
- Anda juga perlu tahu mengenai gambaran kerja secara am bagi jawatan yang hendak ditemuduga.
- Bersedia dengan soalan- soalan yang mungkin akan ditanya oleh penemuduga. Anda juga perlu ambil tahu mengenai isu-isu semasa dunia terutama sekali di Malaysia. Ini penting sekiranya tawaran temuduga datang dari jabatan kerajaan. Pernah sekali seorang rakan saya ditanya ‘Di manakah Dr Mahathir sekarang?’ – pada masa itu Dr M berada di Paris sedang bermesyuarat mengenai isu yang saya pun tidak berapa ingat!
- Sediakan segala dokumen penting seperti resume, kad pengenalan, sijil akademik, sijil ko-kurikulum dan sijil-sijil aktiviti di luar kampus jika ada. Bawa salinan sijil-sijil ini sebagai back up jika diminta. Sediakan juga laporan projek-projek yang pernah anda lakukan sepanjang masa belajar atau dilatihan industri.
- Pastikan anda mempunyai pakaian yang sesuai untuk proses temuduga. Pakaian anda perlu bersesuaian dengan jawatan yang diminta. Pilih warna-warna cerah untuk kemeja, seluar atau skirt gelap. Jangan memakai tali leher yang mempunyai gambar kartun! Jika memilih baju kurung, warna baju tidak perlu lebih dari 3 warna. Bersolek sekadar perlu sahaja.
- Sesi temuduga biasanya dijalankan di waktu pagi, oleh itu dapatkan tidur yang cukup. Pastikan anda bersarapan sebelum menuju ke tempat temuduga. Walaupun kedua perkara ini nampak remeh, ianya penting supaya anda nampak segar dan bersedia serta dapat memberi tumpuan yang penuh semasa temuduga.
- Temuduga di jabatan kerajaan bermula seawal jam 8 pagi sehingga kesemua calon telah ditemuduga – ia mungkin mengambil masa hingga ke petang, tanpa rehat makan tengahari!
- Berlatih dengan kawan-kawan atau di hadapan cermin. Cara masuk, posisi duduk dan cara menjawab soalan mengambarkan serba sedikit mengenai personaliti anda.
- Hubungi syarikat tersebut jika anda tidak berapa pasti mengenai lokasi temuduga. Cuba cari jalan yang betul sebelum hari temuduga supaya anda tidak sesat.
- Cuba elak daripada menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat temuduga. Kalau boleh, minta tolong keluarga atau rakan-rakan untuk menghantar anda – takut nanti anda lambat sampai dan terlepas peluang temuduga.
Anda telah bersedia untuk bertemu bakal majikan jika semua perkara diatas anda ikuti!
Semasa temuduga
- Sebelum berjumpa penemuduga, pastikan anda berpakaian kemas. Jika rambut panjang, sisir ke belakang dan gunakan krim rambut. Bacalah doa penenang hati supaya tidak gementar.
- Apabila masuk, beri salam atau ucapan selamat kepada panel temuduga. Hulurkan tangan untuk bersalam bagi yang muhrim. Pastikan genggaman tangan anda kemas dan kejap. Jangan duduk selagi tidak dibenarkan!
- Untuk menghilangkan rasa gemuruh, anda boleh mulakan perbualan dengan bertanya khabar kepada panel temuduga – tapi jangan lebih-lebih!
- Penemuduga di syarikat swasta mungkin terdiri dari seorang atau 2 orang wakil majikan. Bergantung kepada jawatan yang dipohon, biasanya Pengurus Sumber Manusia atau Pengurus-pengurus Bahagian yang akan menjalankan sesi temuduga . Jika bernasib baik, Pengarah Syarikat sendiri yang akan menilai anda!
- Di jabatan kerajaan pula, panel temuduga biasanya seorang Pegawai Kanan, seorang wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Ketua Perkhidmatan.
- Dengar soalan dengan teliti. Fikir dulu sebelum menjawab soalan yang ditanya. Kawal pergerakan tangan dan badan – biasanya akan banyak bergerak jika gementar! Jika penemuduga buat lawak, jangan ketawa berlebihan.
- Permulaan temuduga, anda akan ditanya soalan-soalan biasa seperti nama, umur dan tempat tinggal. Ini adalah usaha penemuduga untuk membuat anda rasa selesa.
- Semasa temuduga berlangsung, anda boleh bertanya soalan-soalan mengenai jawatan yang dipohon kepada panel. Jangan bercerita mengenai masalah peribadi atau mengenai bekas majikan anda.
- Sesi temuduga mungkin akan dijalankan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya jika di syarikat swasta. Tapi di jabatan kerajaan, jika anda ditanya dalam bahasa Melayu – jawab dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan bahasa Inggeris.
- Tempoh temuduga bergantung kepada jumlah calon yang datang. Biasanya antara 20 minit ke 30 minit – apa yang nak ditanya lama-lama tu ye? Jika ramai calon yang datang dan anda mendapat giliran yang awal, bersedia lebih! – penemuduga masih dalam mood yang baik dan gemar bertanya banyak soalan (biasanya soalan tidak terlalu sukar). Jika anda mendapat giliran di tengah, penemuduga mungkin sudah jemu bertanya soalan yang sama – anda mungkin ditanya mengenai keadaan politik semasa! Anda mendapat giliran hujung? Anda akan selesai ditemuduga dalam masa 10 minit – panel temuduga sudah penat!
Selesai temuduga
- Anda boleh bertanya pada penemuduga bila keputusan akan diumumkan. Jika anda rasa yakin, mohon satu lagi sesi temuduga khas untuk mempromosikan diri anda. Majikan suka calon sebegini.
- Hantar kad ucapan terima kasih kepada syarikat berkenaan. Sekiranya anda tidak berjaya dalam temuduga itu, pihak syarikat akan menghargai anda atas kad ucapan tersebut – mungkin anda akan dipanggil untuk temuduga yang akan datang!


