Archive for the ‘Bagaimana menghadapi temuduga’ Category

Soalan yang sering ditanya semasa temuduga

Penemuduga memang suka mencabar minda mangsanya (andalah tu!) Kadangkala mereka bertanya soalan bukan sebab mahukan jawapan, sebaliknya nak tengok samada anda ada jawapan dan cara anda menjawab soalan tersebut.

Tapi adik-adik jangan risau…

Disini saya kumpulkan soalan-soalan yang biasa ditanya semasa temuduga kerja, apa tujuan soalan dan bagaimana anda harus menjawabnya.

1. Soalan pertama biasanya adalah mengenai diri anda

‘Nama saya dot dot dot, saya tinggal di dot dot dot, nombor telefon dot dot dot, saya suka tengok tv…

Tolong dik, jangan jawab macam tu! Mungkin setakat nama dan tempat tinggal anda boleh jawab – sekadar untuk memulakan ayat. Tapi sebenarnya penemuduga ingin melihat bagaimana anda mempromosikan diri anda.

Anda boleh ceritakan pasal hobi, tapi cuba kaitkan hobi tersebut dengan kerja yang anda mohon.

Katalah anda seorang graduan seni halus dan anda mohon untuk bekerja di kedai kek. Cuba jawab macam ni…

‘Saya suka subjek seni dan saya juga suka membuat kek. Saya seorang yang kreatif, oleh itu saya boleh membantu mereka hiasan kek yang terkini untuk menarik lebih ramai pelanggan’

2. Anda bersedia untuk bekerja lebih masa?

Jika anda tahu tugas jawatan yang dipohon, anda pasti tahu tugas tersebut kemungkinan besar memerlukan kerja lebih masa.

Oleh itu, pastikan anda menjawab dengan jujur. Anda juga boleh bertanya lebih lanjut kepada panel temuduga mengenai tempoh kerja lebih masa dan bayaran untuk kerja tersebut.

Mungkin pada masa temuduga anda boleh bersetuju dengan kerja lebih masa. Apabila anda telah diambil bekerja, anda boleh berunding dengan majikan mengenai waktu kerja lebih masa yang sesuai untuk anda supaya tidak bertembung dengan aktiviti luar kerja anda.

3. Apa yang anda boleh sumbangkan kepada syarikat ini / Kenapa syarikat perlu mengambil awak bekerja / Jelaskan bagaimana anda boleh menjadi aset kepada syarikat?

Ini soalan biasa. Selalunya ditanya pada hujung-hujung temuduga.Anda perlu over dengan kelebihan anda, kebaikan personaliti anda untuk syarikat dan pekerjanya. Berikan contoh jika ada.

4. Dimana anda akan berada untuk 5 atau 10 tahun akan datang?

Sekali lagi, perancangan kerja memainkan peranan. Anda perlu bersederhana, jangan terlalu bercita-cita tinggi. Beri jawapan mengikut potensi jawatan yang dipohon.

Contoh ; Saya berharap jawatan sebagai penyelia akan membuka peluang untuk saya meningkatkan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi seperti Pengarah Urusan syarikat.

5. Apakah kelebihan dan kelemahan anda?

Anda boleh jawab seperti soalan 3 untuk kelebihan. Nyatakan sedikit kelemahan anda, tapi juga terangkan yang ianya tidak akan mengganggu kerja anda dan anda sedang berusaha memperbaiki kelemahan tersebut.

Ada juga kelemahan yang sebenarnya memberi kelebihan kepada anda seperti ‘ Saya tak boleh bekerja tanpa diari / organizer – maksudnya anda seorang yang teratur, saya pantang tengok kertas diguna sebelah saje – majikan sukakan anda kerana anda boleh membantu menjimatkan perbelanjaan pejabat!.

6. Apa yang anda tahu mengenai syarikat dan jawatan yang dipohon?

Sebab itu saya suruh anda cari maklumat syarikat. Anda perlu tahu serba sedikit mengenai syarikat tersebut dan tugas jawatan yang dipohon. Anda boleh baca laman Jenis pekerjaan untuk menyemak tugas jawatan yang anda pohon.

Pekerjaan di syarikat swasta dan kerajaan ada sedikit perbezaan, walaupun jawatannya sama. Sila lawati laman web Kementrian Sumber Manusia.

7. Bagaimana anda menyelesaikan sesuatu masalah?

Perkara asasnya – siasat masalah dengan teliti, tidak mengambil keputusan terburu-buru, rujuk kepada mereka yang berpengalaman, ambil langkah-langkah proaktif supaya masalah tidak berulang.

8. Berapa banyak anda rasa layak dibayar gaji?

Aduh!! Kalau kena soalan macam ni, memang kelam kabut! Nak sebut gaji rendah – nanti menyesal, gaji tinggi – tak nak diupah pulak!

Yang betulnya, anda pandang muka penemuduga dan jawab;

Soalan ini agak sukar untuk saya jawab. Tapi saya telah membuat sedikit carian mengenai gaji yang diberi untuk jawatan seperti ini adalah di antara (sebutkan julat). Sebagai graduan baru, saya bersedia berunding mengenai gaji yang sesuai.

Apa lagi? Pergilah siasat gaji yang sesuai!

9. Kenapa anda mahu bekerja dengan syarikat ini?

Terangkan kelebihan anda supaya selaras dengan kehebatan syarikat. Beritahu panel temuduga jika anda bekerja dengan syarikat, ia boleh menjadi batu loncatan yang cemerlang untuk karier anda.

10. Anda ada soalan yang hendak ditanya?

Senaraikan beberapa soalan seperti;Apakah peluang karier yang boleh saya jangka dari jawatan ini?

  • Bagaimana dengan kursus atau latihan untuk meningkatkan kecekapan bekerja?
  • Dimana saya akan ditempatkan jika diterima bekerja?
  • Bagaimana dengan faedah yang syarikat berikan untuk pekerja?
  • Bila saya boleh tahu keputusan temuduga?

Anda juga boleh memohon untuk menambah beberapa points untuk soalan yang telah ditanya.

Semasa menjawab soalan temuduga, pastikan anda tidak kedengaran seperti anda sedang menghafal skrip. Cuba jawab dengan tenang, sambil mengingat jawapan yang anda telah sediakan.

Tunggu 3 saat selepas soalan penemuduga habis sebelum anda menjawab supaya anda kelihatan teratur dan nampak seperti anda berfikir sebelum menjawab (walaupun hakikatnya anda menghafal jawapan!)

Saya akan beritahu anda jika ada soalan-soalan lain yang sering ditanya semasa temuduga sekiranya anda mendaftar di blog ini!

Menghadapi temuduga

..jeng..jeng..jeng…

Akhirnya anda berjaya dipanggil untuk temuduga! Apa saya kata? Berkat kesabaran dan doa, pasti berjaya!

Sebelum anda pergi mengadap bakal majikan, ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan. Tapi sebelum tu, saya tips khas untuk mereka yang nak pergi temuduga di jabatan kerajaan. Tgk kat sini ye!

Ok, kalau anda ikuti langkah-langkah dan panduan yang saya beri –  Insya-Allah anda akan cemerlang dalam temuduga pertama anda.

Sebelum temuduga

  • Cari maklumat syarikat yang memanggil temuduga seperti sejarah syarikat, pengasas, produk/perkhidmatan yang ditawarkan, hala tuju dan perkembangan terbaru. Tuan penemuduga gemar bertanya mengenai apa yang anda tahu tentang syarikat mereka. Jika anda berjaya menjawab, menunjukkan anda sangat komited untuk bekerja dan sentiasa dalam keadaan bersedia.
  • Anda juga perlu tahu mengenai gambaran kerja secara am bagi jawatan yang hendak ditemuduga.
  • Bersedia dengan soalan- soalan yang mungkin akan ditanya oleh penemuduga. Anda juga perlu ambil tahu mengenai isu-isu semasa dunia terutama sekali di Malaysia. Ini penting sekiranya tawaran temuduga datang dari jabatan kerajaan. Pernah sekali seorang rakan saya ditanya ‘Di manakah Dr Mahathir sekarang?’ – pada masa itu Dr M berada di Paris sedang bermesyuarat mengenai isu yang saya pun tidak berapa ingat!
  • Sediakan segala dokumen penting seperti resume, kad pengenalan, sijil akademik, sijil ko-kurikulum dan sijil-sijil aktiviti di luar kampus jika ada. Bawa salinan sijil-sijil ini sebagai back up jika diminta. Sediakan juga laporan projek-projek yang pernah anda lakukan sepanjang masa belajar atau dilatihan industri.
  • Pastikan anda mempunyai pakaian yang sesuai untuk proses temuduga. Pakaian anda perlu bersesuaian dengan jawatan yang diminta. Pilih warna-warna cerah untuk kemeja, seluar atau skirt gelap. Jangan memakai tali leher yang mempunyai gambar kartun! Jika memilih baju kurung, warna baju tidak perlu lebih dari 3 warna. Bersolek sekadar perlu sahaja.
  • Sesi temuduga biasanya dijalankan di waktu pagi, oleh itu dapatkan tidur yang cukup. Pastikan anda bersarapan sebelum menuju ke tempat temuduga. Walaupun kedua perkara ini nampak remeh, ianya penting supaya anda nampak segar dan bersedia serta dapat memberi tumpuan yang penuh semasa temuduga.
  • Temuduga di jabatan kerajaan bermula seawal jam 8 pagi sehingga kesemua calon telah ditemuduga – ia mungkin mengambil masa hingga ke petang, tanpa rehat makan tengahari!
  • Berlatih dengan kawan-kawan atau di hadapan cermin. Cara masuk, posisi duduk dan cara menjawab soalan mengambarkan serba sedikit mengenai personaliti anda.
  • Hubungi syarikat tersebut jika anda tidak berapa pasti mengenai lokasi temuduga. Cuba cari jalan yang betul sebelum hari temuduga supaya anda tidak sesat.
  • Cuba elak daripada menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat temuduga. Kalau boleh, minta tolong keluarga atau rakan-rakan untuk menghantar anda – takut nanti anda lambat sampai dan terlepas peluang temuduga.

Anda telah bersedia untuk bertemu bakal majikan jika semua perkara diatas anda ikuti!

Semasa temuduga

  • Sebelum berjumpa penemuduga, pastikan anda berpakaian kemas. Jika rambut panjang, sisir ke belakang dan gunakan krim rambut. Bacalah doa penenang hati supaya tidak gementar.
  • Apabila masuk, beri salam atau ucapan selamat kepada panel temuduga. Hulurkan tangan untuk bersalam bagi yang muhrim. Pastikan genggaman tangan anda kemas dan kejap. Jangan duduk selagi tidak dibenarkan!
  • Untuk menghilangkan rasa gemuruh, anda boleh mulakan perbualan dengan bertanya khabar kepada panel temuduga – tapi jangan lebih-lebih!
  • Penemuduga di syarikat swasta mungkin terdiri dari seorang atau 2 orang wakil majikan. Bergantung kepada jawatan yang dipohon, biasanya Pengurus Sumber Manusia atau Pengurus-pengurus Bahagian yang akan menjalankan sesi temuduga . Jika bernasib baik, Pengarah Syarikat sendiri yang akan menilai anda!
  • Di jabatan kerajaan pula, panel temuduga biasanya seorang Pegawai Kanan, seorang wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Ketua Perkhidmatan.
  • Dengar soalan dengan teliti. Fikir dulu sebelum menjawab soalan yang ditanya. Kawal pergerakan tangan dan badan – biasanya akan banyak bergerak jika gementar! Jika penemuduga buat lawak, jangan ketawa berlebihan.
  • Permulaan temuduga, anda akan ditanya soalan-soalan biasa seperti nama, umur dan tempat tinggal. Ini adalah usaha penemuduga untuk membuat anda rasa selesa.
  • Semasa temuduga berlangsung, anda boleh bertanya soalan-soalan mengenai jawatan yang dipohon kepada panel. Jangan bercerita mengenai masalah peribadi atau mengenai bekas majikan anda.
  • Sesi temuduga mungkin akan dijalankan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya jika di syarikat swasta. Tapi di jabatan kerajaan, jika anda ditanya dalam bahasa Melayu – jawab dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan bahasa Inggeris.
  • Tempoh temuduga bergantung kepada jumlah calon yang datang. Biasanya antara 20 minit ke 30 minit – apa yang nak ditanya lama-lama tu ye? Jika ramai calon yang datang dan anda mendapat giliran yang awal, bersedia lebih! – penemuduga masih dalam mood yang baik dan gemar bertanya banyak soalan (biasanya soalan tidak terlalu sukar). Jika anda mendapat giliran di tengah, penemuduga mungkin sudah jemu bertanya soalan yang sama – anda mungkin ditanya mengenai keadaan politik semasa! Anda mendapat giliran hujung? Anda akan selesai ditemuduga dalam masa 10 minit – panel temuduga sudah penat!

Selesai temuduga

  • Anda boleh bertanya pada penemuduga bila keputusan akan diumumkan. Jika anda rasa yakin, mohon satu lagi sesi temuduga khas untuk mempromosikan diri anda. Majikan suka calon sebegini.
  • Hantar kad ucapan terima kasih kepada syarikat berkenaan. Sekiranya anda tidak berjaya dalam temuduga itu, pihak syarikat akan menghargai anda atas kad ucapan tersebut – mungkin anda akan dipanggil untuk temuduga yang akan datang!